Hello.Do Follow Me? Back To Dashboard? Nice To Meet You.Visit Here Again =3
! ✿Vertical Truth of 'Islam'✿ !: Tanda Akhir Zaman
Showing posts with label Tanda Akhir Zaman. Show all posts
Showing posts with label Tanda Akhir Zaman. Show all posts

IFF : Menghina Islam atas Nama Islam .

Penyebaran fesyen jahiliah atas nama Islam di pentas Islamic Fashion Festival (IFF)
Bagaimanakah tatacara melabel sesuatu sebagai Islamik (HALAL)?
Apakah ada garis ukurnya, atau bergantung kepada intepretasi bebas masing-masing?
Ketika masyarakat berdepan dengan pelbagai ancaman ajaran sesat yang lazimnya berpaksikan sesuatu yang ritual, mistik dan terpencil daripada kehidupan massa, kita juga sedang mendepani kekeliruan-kekeliruan yang berada di dalam arus perdana. Sesuatu yang jarang dilihat sebagai ‘ajaran sesat’, tetapi cukup banyak memesongkan manusia daripada landasan hidayah.
Itulah BUSANA MUSLIMAH.
LANDSKAP 1990′AN
“Mak Fatih di Turki, purdahnya bukan sehelai kain tambahan yang menutup muka. Tetapi tudung yang dipakai, digenggam dengan tangan di bahagian hidung. Semua perempuan pakai seluar besar,” saya berbual dengan ibu tentang cara berpakaian wanita Anatolia yang saya lihat.
“Nak kenal mahasiswi Turki senang sahaja. Ramai di kalangan mereka suka memakai tudung dengan sanggul tinggi,” saya bersembang dengan rakan-rakan di Jordan.
“Bukan sanggul tinggi itu, bonggol unta yang Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam laknat dalam hadith tu ke?” tanya rakan saya.
Betul dah tu. Tak apa, kita buang sanggul tu, kita ambil tudungnya sahaja. Buat hadiah. Bukan senang nak dapat tudung sutera Turki di Malaysia” saya menokok perbincangan.
Kelana saya ke pelbagai negara umat Islam di era 90′an, memperkenalkan saya kepada pelbagai bentuk pakaian yang disesuaikan dengan budaya, persekitaran dan keperluan, namun masih mengekalkan prinsip-prinsip asas berpakaian menurut Islam. Pelbagai bentuk seluar, abaya, tudung, malah pelbagai bentuk niqab, kesemuanya membentuk satu kesediaan pada diri saya untuk lebih dinamik dalam mendefinisikan apa itu fesyen dan seluas manakah ruang yang disediakan oleh Islam untuk ia berkembang.
Ketika itu, segala-galanya masih asing daripada masyarakat kita.
Baju kurung, masih kekal dengan potongan baju kurung yang biasa.
Tudung juga tidak banyak jenis.
Malah berpurdah masih asing dan pantas dikaitkan dengan Jemaah al-Arqam.
Saya juga boleh rancak bercerita tentang pengalaman saya di negara Arab kerana jarang-jarang sekali muka Arab ditemui di jalanan ibu kota negara. Malah Malaysia hampir-hampir tidak termasuk di dalam destinasi pelancongan warga negara Arab yang ketika itu masih berkiblatkan Eropah untuk percutian mereka.
LANDSKAP SEMASA
Hari ini, komunikasi, teknologi maklumat dan mobilisasi manusia mengalami perubahan yang besar. Globalisasi menghimpunkan manusia yang pelbagai di sebuah perkampungan antarabangsa. Masyarakat kita semakin terdedah dengan pelbagai bentuk budaya dan ekspresi diri termasuklah fesyen. Pelbagai idea datang untuk mengembangkan cara berpakaian kita, khususnya untuk wanita Muslimah.
Industri fesyen semasa berkembang maju. Ia sesuatu yang boleh dihargai pada sudut-sudut positifnya.
Baguslah begitu.
Dahulu kala, wanita yang berhijrah itu mendefinisikan HIJRAH bukan sekadar pada memakai tudung, tetapi terus kepada mengubah keseluruhan penampilan diri dan gaya hidup. Imej perubahan diri Hajjah Wan Chik Daud, Siti Fairuz, Rahimah Rahim juga Noorkumalasari, memperlihatkan hijrah itu benar-benar suatu hijrah.
Namun kini, dengan perkembangan fesyen yang begitu dinamik, HIJRAH boleh berlaku dalam format yang lebih mudah. Ia tidak menjadi satu revolusi ke atas diri, namun sekadar mengenakan tudung atau meletakkan sesuatu di atas kepala yang dianggap sebagai simbol perubahan diri. Semakin lama, ia semakin berkembang. Malah perkembangan fesyen alternatif ini sudah sampai kepada berjaya menganjurkan pertunjukan fesyen di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.
Antaranya adalah Fashion Show Busana Muslim 2010 di MIDF HALL, di ibu kota Kuala Lumpur tidak lama dulu.
Versi DUBAI!
PENTAKRIFAN
“…Dan janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu…” [al-Ahzaab 33: 33]
Sejauh manakah pakaian itu boleh diterima sebagai Busana Muslimah?
Bagaimana dengan batas-batas Aurat?
Bagaimana dengan sifat bersederhana dan MALU yang menjadi tunjang ekspresi diri pada berpakaian itu?
Perkembangan semasa, memperlihatkan, apa yang dilabelkan sebagai Busana Muslimah itu, bukan lagi sekadar Tabarruj Jahiliah malah sudah menjadi al-Kaasiaat al-‘Aariyaat seperti yang diungkapkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang bermaksud SEPARUH TELANJANG, atau BERPAKAIAN TAPI BERTELANJANG.
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau berkata, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “Dua kelompok daripada penghuni Neraka yang aku tidak pernah melihatnya (semasa hidupku): Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor lembu dan mereka melibas-libas orang dengannya. Yang kedua adalah wanita yang akan telanjang walaupun mereka sedang berpakaian, perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya seumpama bonggol unta. Dan perempuan yang sebegini keadaannya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. “[Hadith riwayat Muslim]
Fesyen yang membiarkan leher keluar, telinga keluar, dada terdedah, jenis kain lembut yang rapat membalut tubuh dengan bentuk yang menonjol, semua itu diterima sebagai sebahagian daripada kriteria BUSANA MUSLIMAH. Malah tahun 2010 menyaksikan berleluasanya pemakaian tudung dengan bonggol yang sangat menonjol di bahagian atas kepala, sama ada oleh rambut sendiri yang panjang, atau dengan sanggul palsu yang dijual di kedai HIJAB?
Sekadar meletakkan sesuatu di atas kepala, atau melabuhkan top hingga ke bawah ala-ala jubah atau abaya, jadilah ia BUSANA MUSLIMAH!
Di manakah Islamnya?
Pakaian ini diberikan kepada artis-artis yang mungkin di hatinya memang mahu membuat perubahan diri. Saya tidak berada di posisi untuk menilai niat di hati sesama insan. Tetapi niat yang baik itu ditemukan dengan solusi yang sangat jauh daripada Islam. Apatah lagi, dengan status pemakainya sebagai ikon masyarakat (jika masih mahu mengikonkan artis), ia menjadi ikutan. Lalu berleluasalah segalanya.
Tidak sampai ke suku ketiga tahun 2010, penyelewengan cara berpakaian menurut Islam semakin menjadi-jadi.
Jika kalian yang tidak pernah bertudung, mula bertudung dengan fesyen sebegini, mungkin sukar untuk menghayati perubahannya. Namun bagi kalian yang dahulunya berpakaian secara sederhana tetapi mula memperagakan fesyen seperti ini, tanyalah secara jujur ke dalam hati, adakah kalian semakin malu di hadapan Allah atau semakin berani dan bijak mencipta justifikasi?
Islam menyediakan ruang yang secukupnya untuk seorang wanita Muslimah dan lelaki Muslim yang belum menutup aurat untuk segera mencari kekuatan berbuat demikian. Tetapi menyambut kejayaan membuat perubahan dengan menghantar mereka ke daerah Busana Muslimah yang sangat bercanggah dengan Islam ini, ia adalah suatu kesesiaan yang mengundang penyesalan.
KUASA BESAR DI SEBALIK TABIR
Sedutan www.islamicfashionfestival.com.my
Bukan hanya di Dubai seperti paparan di atas, penyebaran konsep asing ini di atas nama Islam tidak berlaku sekadar di peringkat akar umbi masyarakat malah didukung oleh sebuah badan antarabangsa yang dikenali sebagai Islamic Fashion Festival (IFF). Penganjur kepada Festival Fesyen Islam di peringkat antarabangsa ini ditubuhkan pada tahun 2006 dengan warga Malaysia menjadi tulang belakang utamanya, dengan Datin Paduka Seri Rosmah Mansor sebagai penaung utamanya.
Gagasan ini mahu menyebarkan satu rujukan budaya dan visual yang mahu memperlihatkan bagaimana Islam boleh dimesrakan dengan dunia moden semasa serta memperbaiki imej Islam yang tercalar oleh keganasan di sana sini. Amat malang sekali apabila ijtihad sebenar ini tiada langsung memperlihatkan sebarang rujuk silang dengan agamawan, atau badan-badan agama untuk membimbing konsep rekaan fesyen yang mahu ditampilkan.
Terkini, Islamic Fashion Festival yang berlangsung di Monte Carlo pada 9 Ogos 2010 mengulangi penampilan atas nama Islam, yang sangat jelek dan terang-terangan menghina Syariat Allah Subhanahu wa Ta’aala.
“Saya berbangga kerana IFF telah berjaya sampai sebegini jauh untuk mempromosikan busana Islam dan mendapat maklum balas daripada pelbagai latar belakang dan agama di samping memperkukuhkan industri fesyen tersebut ke peringkat lebih tinggi” ujar Datin Paduka Seri Rosmah Mansor usai berlangsungnya Festival Fesyen Islamik tersebut.
Penyelewengan konsep ‘Busana Muslimah’ ini sesungguhnya bukan lagi kerja tukang jahit di Masjid India atau butik-butik kecil sekitar ibu kota. Islamic Fashion Festival bertindak sebagai sebuah gagasan antarabangsa yang mendapat empati dunia atas nama Islam progresif, moden dan anti keganasan.
Ia adalah sebuah gerakan.
“Ayah, emak, saya sudah memakai hijab seperti yang kalian suruh. Bye-bye!”
BEBAS
“Inilah kata-kata orang agama. Semua salah” ulasan yang muncul.
“Semua itu hanya Male Chauvinism. Semua perbuatan orang perempuan mahu dikawalnya” tegas seorang yang lain.
Sesungguhnya kata-kata seperti itu sangat jauh dari kalam terbitan IMAN.
Islam memuliakan kaum lelaki dan perempuan, pada TAQWA, iaitu kualiti diri berkaitan dengan ilmu, bakat, Akhlaq, keupayaan diri dan jauh sekali daripada memperhambakan diri kepada mengejar usaha mengisi makna CANTIK yang tidak pernah berakhir itu. Sesungguhnya CANTIK itu adalah satu bentuk perhambaan wanita yang menyeronokkan (lagi menguntungkan).
Jika demikianlah komen-komen yang timbul tatkala saranan ini datang, ketahuilah anda sememangnya bebas berpakaian sesuka hati anda dan kita tidak akan mengganggu kebebasan individu yang dibanggakan itu. Namun sebaik sahaja pakaian jelek itu kalian nisbahkan kepada Islam, kami bangkit menentangnya.
Kami cemburu dengan agama kami.
BUSANA MUSLIMAH yang tidak mematuhi Islam seperti itu adalah penghinaan kepada Syariat Allah.
Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.[al-Ahzaab 33: 36]FULL STOP!

Aik Baca Sahaja ? Bagilah Respon Untuk Archive ni Sikit :)

Islam , Jantina Dan Seks .


Apabila Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan Pengkid, saya tertanya-tanya: “Apakah Pengkid?” Agak ketinggalan dalam istilah-istilah seumpama ini, saya membuat sedikit kajian dan bertanya kepada beberapa rakan yang lebih terkini dengan istilah-istilah sedemikian. Memeranjatkan, ia merupakan salah satu daripada beberapa istilah yang digunakan bagi menerangkan keadaan seseorang dari aspek jantina dan kecenderungan seksualnya.
Sedikit kajian yang dilakukan itu menemukan saya dengan beberapa istilah lain yang duduk dalam subjek yang sama, yang dapat saya ringkaskan sebagai berikut:



  1. Transgender: Lelaki yang tingkah lakunya seperti wanita dan wanita yang tingkah lakunya seperti lelaki.
  2. Tranvestit: Lelaki yang berpenampilan seperti wanita dan wanita yang berpenampilan seperti lelaki.
  3. Transeksual: Lelaki yang merasakan dia seorang wanita dan wanita yang merasakan dia seorang lelaki. Ada yang membuktikan perasaan itu dengan melakukan pembedahan bagi menukar alat kelamin.
  4. Homoseksual: Orang yang melakukan hubungan seksual dengan jantina sejenisnya. Lelaki yang membuat hubungan seks dengan lelaki disebut sebagai Gay manakala wanita yang membuat hubungan seks dengan wanita disebut Lesbian. Lawannya ialah Heteroseksual, iaitu lelaki yang membuat hubungan seks dengan wanita dan wanita yang membuat hubungan seks dengan lelaki. Ini adalah hubungan yang betul lagi normal dan dihalalkan oleh Islam melalui pernikahan yang menepati rukun-rukunnya.
  5. Bi-Seksual: Lelaki yang membuat hubungan seks dengan wanita dan lelaki. Juga wanita yang membuat hubungan seks dengan lelaki dan wanita.
  6. Tri-Seksual: Lelaki yang membuat hubungan seks dengan wanita, lelaki dan transeksual. Juga wanita yang membuat hubungan seks dengan lelaki, wanita dan transeksual.
  7. Pengkid: Wanita yang mencintai wanita seumpama pasangan hidupnya. Di kalangan Pengkid ada yang berpenampilann sebagai lelaki.

Tujuh aspek jantina dan kecenderungan seksual seseorang sepertimana di atas tentu saja berbeza dari fitrah manusia dan norma kehidupan. Akan tetapi atas lencana kemodenan dan kebebasan peribadi, ia dianggap biasa dan boleh ditonjolkan kepada khalayak ramai. Namun apakah hukumnya menurut Islam? Dalam penulisan yang sederhana ini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian hukumnya berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah, juga jalan penyelesaiannya, insya-Allah.
Jika dikaji ketujuh-tujuh aspek jantina dan kecenderungan seksual di atas, ia dapat dihimpun kepada tiga kategori hukum. Pertama: Hukum menyerupai jantina yang berbeza,Kedua: Hukum mencintai jantina sejenis umpama pasangan hidup dan Ketiga: Hukum melakukan hubungan seks dengan jantina sejenis.

Hukum Menyerupai Jantina Yang Berbeza.
Dalam bab ini Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Bukan dari golongan kami siapa saja wanita yang menyerupai lelaki dan siapa saja lelaki yang menyerupai wanita.”(Musnad Ahmad, no: 6875 dengan sanad yang dinilai hasan oleh Ahmad Syakir). Bahkan ‘Abdullah ibn ‘Abbas r.a. menerangkan bahawa: “Rasulullah s.a.w. melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” (Shahih al-Bukhari, no: 5546). Hadis-hadis larangan dalam bab ini juga diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan Aisyah r.a..
Berdasarkan hadis-hadis ini, jumhur ilmuan mengatakan haram hukumnya untuk seseorang itu berusaha menyerupai jantina yang berbeza dengannya, baik dalam bentuk tingkah laku, penampilan, pakaian mahu pun perhiasan. Larangan ini termasuk kanak-kanak lelaki dan perempuan yang belum baligh, di mana haram hukumnya bagi ibubapa atau penjaga kanak-kanak itu berusaha menyerupakan mereka dengan jantina yang berbeza. Dr. Jamil bin Habib al-Luwaihiq menjelaskan:
“Apa-apa yang berlaku untuk orang lelaki dan wanita dalam bab ini, berlaku pula untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan. Maka tidak boleh mengenakan kepada kanak-kanak lelaki pakaian kanak-kanak perempuan atau mengenakan kepada kanak-kanak perempuan pakaian untuk kanak-kanak lelaki.” [al-Tasyabbuh al-Manhy ‘Anhu fi al-Fiqh al-Islami (edisi terjemahan oleh Asmuni dengan judul Tasyabbuh Yang Dilarang Dalam Fikih Islam; Darul Falah, Jakarta, 2007), ms. 138]
Pengecualian diberikan jika penyerupaan itu memiliki dalil syar’e, di mana dalil itu mengecualikan kemutlakan larangan penyerupaan di atas. Di antaranya ialah hukum memakai cincin bagi lelaki, maka ia bukan satu penyerupaan yang dilarang kerana Rasulullah s.a.w. turut memakai cincin. Anas bin Malik r.a. menerangkan: “Bahawasanya Nabi s.a.w., cincinnya diperbuat daripada perak dan mata cincinnya daripada (perak) juga.” (Shahih al-Bukhari, no: 5870)
Ada pun hikmah di sebalik larangan penyerupaan jantina yang berbeza, maka ia adalah satu tindakan yang melawan penciptaan Allah. Ini kerana Allah s.w.t. telah mencipta manusia sebagai lelaki dan wanita di mana masing-masing diberi ciri fizikal dan tanggungjawab yang berbeza. Allah s.w.t. berfirman:
Bukankah dia (manusia) berasal dari air mani yang dipancarkan (ke dalam rahim)? Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)? Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis lelaki dan perempuan.” [al-Qiyamah 75: 37-39]
Selain penentangan terhadap ciptaan Allah, penyerupaan juga merupakan langkah awal ke arah pelbagai perbuatan maksiat yang lain. Penjelasan Dr. Jamil al-Luwaihiq sekali lagi menjadi rujukan:
“Di antara tujuan syari’at di sebalik larangan tersebut adalah untuk menunjukkan perbezaan antara lelaki dan wanita, sebagaimana hikmah dalam hal itu adalah untuk memutuskan jalan yang menuju kepada sesuatu yang diakibatkan oleh hal tersebut berupa pelbagai kerosakan besar yang bersangkutan dengan agama dan dunia.
……jika salah seorang dari keduanya melakukan sedikit dari hal-hal di atas (penyerupaan kepada jantina yang berbeza), ia akan mendorong kepada penyerupaan yang lebih besar sehingga hal itu menjadi sebab terdorong melakukan pelbagai dosa besar.” [al-Tasyabbuh, ms. 160-161]

Hukum Mencintai Jantina Sejenis Umpama Pasangan Hidup.
Menyebut tentang cinta, asas pertama yang perlu diketahui oleh semua umat Islam ialah cinta yang paling unggul hendaklah ditujukan kepada Allah s.w.t.. Allah menegaskan hal ini dalam firman-Nya:
“Dan di antara manusia ada yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah; sedangkan orang-orang yang beriman itu lebih cinta kepada Allah (berbanding selainnya).” [al-Baqarah 2:165]
Cinta kepada Allah ialah mentaati segala perintah larangan-Nya, mencari keredhaan-Nya dan melaksanakan kehidupan di dunia ini sebagaimana yang Dia kehendaki. Cinta kepada Allah juga dibuktikan dengan mentaati segala perintah larangan, nasihat dan teguran Rasulullah s.a.w.. Fakta terakhir ini ditekankan sendiri oleh Allah s.w.t.:
Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu (umat Islam) mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”[Ali Imran 3:31]
Termasuk pembuktian kecintaan kepada Allah ialah seseorang itu hanya mencintai jantina yang berbeza sebagai pasangan hidupnya. Ini kerana Allah s.w.t. sejak dini telah menciptakan manusia dalam jantina yang berpasangan, lelaki dan wanita: Dan bahawa sesungguhnya, Dialah (Allah) yang menciptakan pasangan lelaki dan perempuan.”[al-Najm 53:45]
Justeru apabila ingin mencintai seseorang sebagai pasangan hidupnya, hendaklah ia dalam bentuk pasangan lelaki dan wanita, iaitu lelaki yang mencintai wanita dan wanita yang mencintai lelaki. Pasangan ini seterusnya menghalalkan percintaan mereka melalui ikatan nikah yang menepati rukun-rukun nikah dalam syari’at Islam. Allah s.w.t. berfirman:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (pasangan suami isteri) perasaan cinta (kasih sayang) dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” [al-Rum 30:21]
Individu yang mencintai jantina sejenis untuk dijadikan pasangan hidup, dia sebenarnya mencintai nafsunya melebihi cintanya kepada Allah. Atas dasar inilah dia berani mengarahkan cintanya kepada sesuatu yang berbeza daripada apa yang disusun, diperintah dan diredhai oleh Allah. Nah! Jika mencintai sesuatu seumpama mencintai Allah sudah cukup untuk dikira sebagai perbuatan syirik (rujuk ayat 165 surah al-Baqarah di atas), maka bagaimana pula tindakan mencintai sesuatu melebihi cintanya kepada Allah? Sudah tentu ia adalah syirik yang lebih besar, lebih dahsyat.

Hukum Melakukan Hubungan Seks Dengan Jantina Sejenis.
Hubungan seks yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. ketika Dia mencipta manusia adalah sebagaimana firman-Nya: Dialah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari diri yang satu dan Dia mengadakan daripada diri itu pasangannya (suami isteri), untuk bersenang-senang satu diri kepada yang lain. Ketika suami mensetubuhi isterinya, mengandunglah dia……” [al-A’raaf 7:189]
Ada pun hubungan seks yang berlawanan daripada kehendak Allah, maka ia bukan sahaja dilarang tetapi langkah-langkah awal ke arahnya juga dilarang. Rasulullah s.a.w. menegaskan:
“Tidak boleh seorang lelaki melihat aurat lelaki yang lain dan tidak boleh seorang wanita melihat aurat wanita yang lain. Tidak boleh seorang lelaki menyentuhkan badannya kepada badan lelaki yang lain di dalam satu selimut dan tidak boleh seorang wanita menyentuhkan badannya kepada badan wanita yang lain dalam satu selimut.” [Shahih Muslim, no: 338]
Imam al-Nawawi menjelaskan:
“Di antara kesimpulan hukum yang diperolehi dalam bab ini ialah haram hukumnya bagi seorang lelaki melihat aurat lelaki yang lain dan bagi seorang wanita melihat aurat wanita yang lain. Berkenaan hukum ini tidak ada perselisihan di dalamnya (di kalangan para ulama’).” [al-Minhaj Syarh Shahih Muslim bin al-Hajjaj (Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut, 2000), jld. 3, ms. 145]
Berkenaan penyentuhan badan sejantina di dalam satu selimut, Imam al-Nawawi melanjutkan:
“Hadis ini menunjukkan larangan yang bersifat haram jika tidak ada penghalang di antara kedua-duanya. Dalam hadis ini terkandung dalil atas haramnya hukum bersentuhan aurat di bahagian mana pun badan seseorang (yang sama jantina) dan ini sudah menjadi satu kesepakatan, kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan pelbagai kerosakan.” [al-Minhaj, jld. 3, ms. 145]
Perhatikanlah! Jika sekadar melihat dan menyentuh aurat sesama jantina sudah disepakati keharamannya, apatah lagi jika saling melakukan hubungan seks di antara sesama jantina. Sudah tentu ia haram juga.
Berdasarkan hadis di atas juga, para ulama’ Islam sejak awal telah memberikan perhatian kepada hukum seorang lelaki memandang wajah lelaki lain yang muda lagi tampan. Sekali pun wajah bukan aurat, langkah berhati-hati dan “cegah sebelum parah” menyebabkan para ulama’ kita melarang seorang lelaki melihat wajah lelaki lain yang muda lagi tampan. Masih bersama Imam al-Nawawi:
“Dan demikianlah juga, diharamkan ke atas seorang lelaki melihat wajah seorang lelaki yang mudah lagi tampan, tanpa membezakan sama ada ia dilihat dengan syahwat atau tidak, tanpa membezakan sama ada ia bakal menimbulkan fitnah atau tidak. Ini merupakan pendapat yang sahih di sisi para ulama’ yang teliti. Ia juga dikemukakan oleh (Imam) al-Syafi’e dan murid-muridnya, semoga Allah merahmati mereka.
(Ini kerana) ketampanan wajah seorang lelaki tidak jauh berbeza dengan kecantikan wajah seorang wanita. Bahkan kebanyakan daripada mereka lebih menarik berbanding kebanyakan wanita. Justeru, adalah lebih haram melihat wajah lelaki yang muda lagi tampan berbanding melihat wajah wanita. Ini kerana dari seorang lelaki yang muda lagi tampan, mungkin timbul kejahatan yang tidak mungkin timbul dari seorang wanita.” [al-Minhaj, jld. 3, ms. 145]
Saya menambah, hukum di atas tidaklah terhadap kepada sesama lelaki sahaja. Seorang wanita hendaklah juga menahan dirinya daripada memandang wanita lain yang boleh menyebabkan dirinya tertarik kepadanya. Penahanan ini tetap dilakukan tanpa membezakan sama ada wujud lintasan syahwat atau tidak, sama ada bakal menimbulkan fitnah atau tidak.

Jantina Dan Seks Yang Berlawanan Fitrah: Ada Penyelesaian?
“Kudis masyarakat!” demikian antara tohmahan yang dilontarkan kepada mereka yang memiliki kecenderungan jantina dan seks yang berlawanan dengan fitrah manusia. Selain itu ada juga yang melantik dirinya menjadi jurucakap Allah dengan memberi ulasan: “Disebabkan oleh orang-orang seperti mereka inilah, Allah menurunkan musibah ke atas negara kita!” Padahal disebabkan oleh orang-orang yang hanya mengulas tanpa bertindak sebeginilah yang menjadi antara faktor Allah menurunkan siksaan-Nya. Rasulullah s.a.w. mengingatkan:
“Tidaklah satu kaum yang di kalangan mereka terdapat orang-orang yang melakukan maksiat sementara kaum itu pula lebih kuat dan lebih ramai daripada orang-orang yang melakukan maksiat, tetapi mereka tidak pula menghalangnya, melainkan Allah meliputi mereka semua dengan siksaan.” [Musnad Ahmad, no: 19230 dengan sanad yang dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arna’uth]
Antara tindakan yang saya maksudkan ialah mencari punca kenapa berlakunya kecenderungan jantina dan seksual yang berbeza dari fitrah. Ini bukan sekadar tindakan tetapi juga jalan penyelesaian, kerana sesuatu masalah itu lebih efektif ditangani dari puncanya berbanding kesannya. Punca-punca tersebut dapat disenaraikan seperti berikut:

Pertama: Pembesaran yang salah.
Maksud pembesaran yang salah ialah peranan serta tindakan ibubapa yang membesarkan anak mereka sebagai jantina yang berbeza. Di antara ibubapa ada yang sangat mengingini anak lelaki padahal hanya dikurniakan dengan anak-anak perempuan. Lalu mereka membesarkan salah seorang atau lebih daripada anak perempuan mereka seumpama anak lelaki. Mereka memberikannya nama lelaki, pakaian lelaki, permainan lelaki dan bersikap lelaki kepada anak itu.
Perkara seperti ini juga berlaku kepada ibubapa yang sangat menginginkan anak perempuan tetapi dikurniakan semua anak lelaki. Pembesaran yang salah seperti inilah yang menyebabkan anak itu mengalami kecenderungan jantina dan seksual yang berbeza.

Kedua: Tiada Keseimbangan antara peranan ibu dan ayah.
Jika seorang anak lelaki banyak meluangkan masa pembesaran bersama ibunya tanpa kehadiran ayahnya, maka ada kemungkinan dia terikut-ikut dengan sikap kewanitaan ibunya. Demikian juga sebaliknya, jika seorang anak perempuan banyak meluangkan masa pembesaran bersama ayahnya tanpa kehadiran ibunya, maka ada kemungkinan dia terikut-ikut dengan sikap kelelakian ayahnya. Maka penyelesaiannya di sini adalah, hendaklah ibu dan ayah memainkan peranan yang seimbang dalam membesarkan anak-anak mereka.

Ketiga: Pendidikan seks yang salah.
Punca yang ketiga ini memerlukan susunan ayat yang tepat kerana dibimbangi sebarang salah faham akan menjadi sumber fitnah kepada diri saya sendiri. Ibubapa perlu memberikan didikan seks yang betul kepada anak-anak mereka. Maksud betul di sini ialah seorang anak lelaki dididik agar cenderung dan minat kepada perempuan dan demikianlah sebaliknya terhadap anak perempuan. Pada waktu yang sama, anak-anak dididik cara perhubungan yang betul agar tidak terjadi sesuatu yang dilarang oleh agama.
Ingat! Islam menginginkan hubungan seksual antara lelaki dan wanita (heteroseksual) dan hubungan ini ada syarat-syaratnya. Kesongsangan berlaku apabila anak-anak dididik seolah-olah semua hubungan antara lelaki dan wanita adalah haram. Didikan yang melampaui batas inilah yang menyebabkan anak-anak membesar dengan kecenderungan seks yang berlawanan dari fitrah ciptaan mereka.
Penyelesaian kepada punca ketiga ini tidak sahaja disandarkan kepada silibus pendidikan ibubapa, tetapi meluas kepada para penjaga, guru, pensyarah dan penceramah.

Keempat: Pengalaman hidup.
Saya pernah dihubungi oleh seorang lelaki dalam umur lewat dua puluhan, menceritakan cabaran yang dihadapinya dalam kehidupan. Cabaran itu ialah minatnya dari sudut seksual kepada sesama lelaki (gay). Dia menceritakan, sepanjang hidupnya dia didik bahawa wanita adalah haram bagi lelaki (Punca Ketiga) dan semasa zaman awal di universiti, dia diliwat secara paksa beberapa kali oleh pelajar lelaki atasan (senior). Semua ini menyebabkan dirinya menghadapi konflik seksual yang sukar diselesaikan.
Punca keempat ini tidak boleh dipandang ringan. Tanpa memandang negatif secara keseluruhan terhadap pendidikan berasrama, saya menasihatkan ibubapa agar menyemak terlebih dahulu sejarah sesebuah sekolah berasrama sebelum mendaftarkan anak mereka ke sana. Para remaja juga hendaklah diberi kesedaran awal akan wujudnya gejala homoseksual di segelintir asrama institusi pengajian tinggi (IPT), baik awam mahu pun swasta, agar seandainya wujud isyarat awal gejala tersebut, mereka dapat bertindak sebelum terlewat.
Pihak pentadbiran sekolah dan universiti juga disaran agar jangan menyapu di bawah tikar seandainya mereka mengetahui wujudnya aktiviti homoseksual di kalangan para pelajar mereka. Sebaliknya hendaklah mereka bertindak segera untuk menyelesaikannya. Dikhabarkan kebanyakan pihak pentadbiran cuba menyembunyikannya demi menjaga nama baik sekolah dan universiti serta kedudukan kewangan mereka. Ini adalah sikap yang bertentangan dengan peranan sebenar mereka dalam bidang pendidikan.
Menyentuh tentang pengalaman, perlu juga diperhatikan dari sudut yang lain. Seorang wanita mungkin pernah diperlakukan secara zalim oleh lelaki lain sehingga dia amat membenci semua lelaki dan mencari ketenangan hidup sesama wanita. Seorang lelaki mungkin pernah terkecewa amat sangat dengan teman wanitanya sehingga dia putus asa terhadap semua wanita dan mencari teman hidup dari kalangan sesama lelaki. Mereka yang pernah mengalami seumpama di atas hendaklah diberi motivasi bahawa bukan semua lelaki atau wanita adalah buruk. Calon heteroseksual yang baik masih banyak di luar sana, hanya memerlukan sedikit usaha dan kewaspadaan untuk mencarinya.

Kelima: Peranan masyarakat.
Merupakan kelaziman masyarakat kita untuk menyisihkan sesiapa yang mereka anggap aneh. Penyisihan ini menyebabkan mereka yang aneh tidak memiliki pilihan lain kecuali berkomuniti dengan orang-orang yang memiliki keanehan yang sama, agar apa yang aneh menjadi tidak aneh. Akhirnya apa yang sedikit aneh menjadi bertambah aneh sehingga amat sukar bagi mereka yang aneh untuk cuba kembali kepada yang tidak aneh.
Bezakan bahawa sebagai umat Islam, kita dituntut untuk membetulkan orang yang berperilaku aneh. Kita tidak akan dapat membetulkan mereka jika kita menyisihkan mereka, malah penyisihan itu akan menyebabkan mereka lebih terjerumus dalam keanehan itu.

Keenam: Salah faham terhadap takdir.
Apabila ditegur tentang kecenderungan jantina dan seksual yang berlawanan dari fitrah manusia, ada yang menjawab bahawa itu adalah takdir Allah ke atas diri mereka dan mereka redha terhadapnya.
Ini adalah kefahaman yang salah terhadap takdir. Ketahuilah bahawa keredhaan terhadap takdir yang tidak disukai pada ukuran manusia terbahagi kepada dua kategori:
  • Kategori pertama adalah takdir yang berupa musibah seperti penyakit dan kemiskinan. Maka kita dianjurkan untuk redha dan pada waktu yang sama berusaha untuk mencari takdir lain yang lebih baik, seperti kesembuhan dari penyakit dan kecukupan sesudah kemiskinan.

  • Kategori kedua ialah takdir yang berupa sesuatu yang dilarang oleh agama, seperti kecenderungan jantina dan seks yang berlawanan dari fitrah manusia. Maka tidak ada dalil yang menganjurkan kita untuk redha dengannya. Sebaliknya semua dalil-dalil agama mewajibkan kita untuk membencinya dan berusaha ke arah takdir lain yang selari dengan tuntutan agama.
Semoga penjelasan di atas dapat membantu segelintir yang menghadapi cabaran kecenderungan jantina dan seks yang berlawanan dari fitrah manusia. Yakinilah bahawa setiap cabaran ada penyelesaiannya, bergantung sama ada kita ingin mencarinya dan berusaha untuk menyelesaikannya. Tidak ketinggalan, jangan berputus asa dari pertolongan Allah kerana Allah bersedia membantu sesiapa yang sentiasa mengharapkan rahmat-Nya.

Aik Baca Sahaja ? Bagilah Respon Untuk Archive ni Sikit :)

 
All Right Reserved To Me.Full Edit By NabilaMedan.